Monday, 14 November 2011

Kenapa perlu di tambah 9 tahun?

Terjemahan ayat 25 surah Al-Kahfi:

 “Mereka (pemuda-pemuda beriman itu) tinggal di dalam gua selama 300 tahun ditambah 9 tahun”

 Kebanyakan tamadun di dunia mempunyai kalendar masing-masing. Ada kalendar China, India, Masehi, Islam dan lain-lain lagi. 
Kalendar Masehi (Januari –Disember) dikira berasaskan edaran matahari (solar). Nama-nama bulan dalam kalendar Masehi mempunyai sejarahnya tersendiri, umpamanya Januari adalah nama tuhan orang Rom yang bernama Janus, tuhan mereka yang berwajah dua, satu menghadap ke depan dan yang satu lagi menghala ke belakang. Bulan Mac pula berasal daripada nama tuhan orang Romawi yang bernama Mars, iaitu tuhan perang mereka.

Bulan-bulan dalam kalendar Islam (Muharam – Zulhijjah) dikira berasaskan edaran bulan. Itulah sebab bila menentukan permulaan bulan yang penting dalam Islam seperti 1 Ramadhan dan 1 syawal, kita tengok anak bulan, bukan tengok anak matahari! Tahun Masehi bermula sempena kelahiran Nabi Isa, manakala tahun Islam dikira sempena hijrah (perpindahan) Nabi Muhammad (S.A.W.) dari Mekah ke Madinah.

Satu tahun Masehi terdiri daripada 365.242375 hari (selalunya kita bundarkan kepada 365 hari sahaja), manakala tahun Hijrah mengandungi 354.37 hari. Ini bermakna tahun Masehi adalah lebih panjang (lebihan sebanyak 10.87237 hari) berbanding tahun Hijrah. Ini sememangnya benar sebab dalam tahun Masehi terdapat beberapa bulan yang jumlah harinya 31 hari iaitu (Januari, Mac, May, Julai, Ogos, Oktober dan Disember). Bilangan hari dalam bulan Islam adalah sama ada 29 atau 30 hari dan tiada yang 31 hari.

Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir dan lain-lain, peristiwa Ashabul Kahfi (kisah penghuni gua) ini berlaku di zaman empayar Rom semasa di bawah pemerintahan maharaja Decius (201 – 251 Masehi) yang terkenal dengan zalimnya itu. Seperti yang kita sedia maklum bahawa sistem kalendar yang digunakan dalam empayar Rom itu ialah kalendar Masehi. Jadi jika tempoh masa pemuda-pemuda itu tidur dalam kalendar Masehi ialah 300 tahun, berapa tahunkah 300 tahun Masehi itu jika dikira dalam kalendar Islam? Untuk itu, kita perlu buat sedikit pengiraan seperti di bawah.

Perbezaan tahun Masehi dan Hijrah = 10.87237 hari
Jumlah perbezaan dalam 300 tahun Masehi =  10.87237 x 300 = 3261.711 hari
3261.711 hari dalam tahun Hijrah = 3261.711 / 354.37 = 9.2042526 tahun.

Perhatikan bahawa perbezaan tahunnya ialah 9 tahun (bundarkan kepada integer yang hampir).

Oleh yang demikian, jumlah tempoh masa pemuda tersebut tidur di dalam gua ialah 300 tahun (kiraan tahun Masehi) yang bersamaan dengan 300 tahun ditambah lagi 9 tahun atau 309 tahun dalam kiraan tahun Hijrah.

Jelas di sini bahawa Matematik diperlukan untuk memahami ayat 25 daripada surah Al-Kahfi tersebut. MasyaAllah. 

3 comments: