Saturday, 12 November 2011
Formula oh formula
Dalam matematik, formula adalah pernyataan bersimbol yang padat dan ringkas untuk menerangkan perhubungan di antara konsep yang terlibat, berkaitan dengan sesuatu fenomena atau masalah. Di peringkat sekolah, selalunya sesuatu formula itu diberikan terus kepada pelajar, kemudian mereka menggunakan formula untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Dalam lain perkataan, formula diberikan kepada pelajar untuk membantu menyelesaikan masalah dan bukannya formula itu sendiri yang menjadi masalah kepada mereka. Kita tidak mahu disebabkan formula (yang kadangkala kelihatan rumit itu) menjadikan pelajar takut sekaligus hilang minat terhadap matematik.
Dalam matematik, peranan formula sangat penting. Jika tidak ada formula, pengiraan menjadi sangat sukar. Bagaimana untuk melakukan jual beli, misalnya jika tidak ada formula untuk mengira harga barangan, pendapatan, untung-rugi, komisen dan lain-lain lagi. Dalam kehidupan kita kadang-kadang perlu mengira masa, berat, luas, isipadu, kelajuan dan sebagainya yang semuanya memerlukan formula atau cara tertentu untuk mengiranya. Formula diperlukan dalam hampir semua bidang, bukan sahaja matematik. Dalam bidang sains (sememangnya sarat dengat formula, khususnya fizik), ekonomi, kejuruteraan, sehinggakan dalam bidang sains sosial seperti geografi, sejarah, psikologi dan sosiologi pun terdapat formula-formualtertentu yang digunakan untuk menerangkan atau menyimpulkan perkaitan di antara pembolehubah yang terlibat dalam bidang berkenaan.
Sesuatu yang menarik tentang formula ialah, formula boleh dicipta, bersesuaian dengan masalah yang sedang dihadapi. Mungkin setelah melihat beberapa contoh penyelesaian, bersandarkan kekuatan pemikiran deduktif, suatu formula (penyelesaian umum) untuk menyelesaikan masalah tersebut boleh diketengahkan. Oleh yang demikian, setiap orang layak untuk menghasilkan formulanya sendiri, asalkan formula tersebut benar (dapat dibuktikan) dan sah untuk digunakan. Itulah di antara cara mapan yang telah digunapakai oleh ahli matematik untuk menghasilkan formula sejak zaman berzaman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment