Dalam ayat 25 surah Al-Kahfi (surah ke-18) ada menceritakan tentang beberapa orang pemuda yang beriman kepada Allah yang terpaksa melarikan diri daripada seorang pemerintah yang zalim. Raja ini seorang penyembah berhala dan memaksa semua rakyatnya menyembah berhala. Sesiapa yang degil atau tidak menurut perintah, maka akan diseksa atau dibunuh. Pemuda-pemuda beriman itu sedar bahawa tuhan mereka Allah, bukannya batu berhala yang diukir-ukir lalu kemudiannya disembah semula oleh orang ramai termasuk pengukirnya sendiri. Bukankah perbuatan itu ironi, paradoks, tidak masuk akal dan tidak logik! Pengukir menyembah barang ukirannya, memang luar daripada pemikiran manusia waras, demikianlah percikan hidayah (kefahaman) kebenaran yang diberikan Allah kepada mereka. Pemuda-pemuda tersebut berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah dan kekuatan untuk terus menyembah Allah, Tuhan Yang Satu dan Maha Berkuasa!
Doa mereka dimakbulkan, diberikan kekuatan hati oleh Allah, lalu pada suatu hari dengan beraninya mereka mengisytiharkan keimanan mereka kepada Allah di khalayak ramai. Raja mendapat tahu tentang peristiwa tersebut lalu diperintahkan mereka untuk datang mengadap. Dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang mampu memberi manfaat atau mudarat, mereka datang ke istana bertemu dengan raja. Setelah dibicarakan, raja memutuskan bahawa mereka diberi tempoh 3 hari untuk meninggalkan agama mereka dan mula menyembah berhala seperti mana rakyat yang lain. Jika tidak, mereka akan diseksa dan akhir dibunuh. Demikianlah ugutan raja kepada pemuda-pemuda beriman itu.
Setelah berbincang, maka diputuskan bahawa mereka terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan iman. Pada mereka, iman itu lebih penting daripada segala-galanya, biarpun terpaksa bersusah-payah, mereka rela melakukan semuanya. Apabila tiba masa yang dijanjikan mereka pun mula bergerak meninggalkan kampong halaman, pergi menyelamatkan diri daripada ditangkap oleh raja yang zalim itu. Setelah penat jauh berjalan, mereka pun berhenti berihat lalu berbaring di dalam sebuah gua. Disebabkan kepenatan, maka mereka pun tertidur. Tidurnya mereka bukan sebarang tidur, tapi tidur yang sangat lama iaitu selama 300 tahun ditambah lagi 9 tahun iaitu jumlahnya 309 tahun. Pernah anda dengar manusia tidur selama 309 tahun? Allah Maha Berkuasa, maka Dia boleh melakukan apa sahaja yang kadang-kadang di luar logik pemikiran manusia. Benar bahawa mereka telah tidur selama 309 tahun.
Persoalan yang akan saya bahaskan dalam “post” yang akan datang ialah tentang kenapa dalam ayat tersebut bilangan tahunnya ditambah lagi 9 tahun.
Terjemahan ayat 25 surah Al-kahfi itu adalah seperti berikut:
“Mereka (pemuda-pemuda beriman itu) tinggal di dalam gua selama 300 tahun ditambah 9 tahun”
Nantikan kemunculan “post” yang akan datang...
No comments:
Post a Comment