Pada peringkat awal perkembangan ilmu sains (khususnya kimia dan fizik), atom dikatakan adalah zarah terkecil yang tidak boleh dipecah atau dibahagikan lagi kepada yang lebih kecil. Sebenarnya maklumat ini telah pun diketahui oleh orang Greek sejak 400 tahun sebelum Masehi lagi. Namun kemudian, setelah perkembangan sains semakin maju, didapati bahawa atom boleh dibahagikan lagi kepada bahagian yang lebih kecil yang disebut sebagai subatom yang terdiri daripada electron, proton dan neutron.
Ini bermakna, jika kita ambil sebarang objek besar, katakan seketul emas (atau badan manusia), lalu dihancurkan ketulan emas itu (atau badan manusia itu) sehancur-hancurnya menjadi debu dan terus dihancur-hancurkan sehingga tidak boleh dipecahkan lagi, maka yang terhasil itulah yang dikatakan atom emas (atau atom manusia!). Demikianlah sifat semua objek yang ada di dunia ini, elemen asasnya adalah atom, tidak lebih dari itu. Bagi mereka yang melihat dunia ini dengan pandangan mata hati, pada mereka, semua yang kelihatan hanyalah atom belaka. Bila melihat rumah mewah misalnya, yang kelihatan pada mereka cuma atom batu, atom tanah, atom besi, atom plastik dan atom-atom lain lagi yang sedikit pun tidak menarik perhatiannya.
Yang saya hendak khabarkan di sini ialah NOMBOR juga mempunyai atom! (terperanjat? tak percaya?). Ini bermakna bahawa sebarang nombor boleh dipecahkan atau diturunkan kepada suatu nombor yang terkecil (yang tidak boleh dipecahkan lagi) yang disebut sebagai NOMBOR ATOM. Bagi mereka yang belajar kimia atau fizik, jangan keliru dengan nombor atom yang ditemui semasa belajar subjek-subjek sains tersebut. Dalam sains, nombor atom bermaksud bilangan proton (atau bilangan elektron) yang berada di dalam nukleus atom bagi sesuatu elemen. Nombor atom di dalam subjek matematik mempunyai maksud yang serba sekali berbeza! Apakah makna NOMBOR ATOM dalam matematik? Apakah gunanya NOMBOR ATOM matematik itu? Maklumat ini akan saya bincangkan dalam “post” yang akan datang. Jangan lupa untuk kembali lawati blog ini lagi untuk mendapatkan maklumat berharga tersebut.
No comments:
Post a Comment